TANYA DALIL PUN SALAH?

TANYA DALIL PUN SALAH?

Entah siapa yang salah antara penanya atau yang ditanya. Kerana seakan menanyakan dalil merupakan kesalahan besar digambarkan oleh sebahagian manusia.

Membeli telefon bimbit pun kita tanya, berapa RAM, slot sim kad berapa, namun dalam beramal, seakan-akan salah tanya urusan ibadah.

Orang awam biasanya tidak bertanya bagaimana dalil mengistinbat hukum solat itu menjadi wajib. Ataupun persoalan rumit mualamat, bahkan isu khilaf muktabar pun jarang diperhalusi dalil oleh orang awam.

Kami hanya bertanya dalil mengenai perkara yang seakan tidak diajarkan Nabi SAW, ataupun cerita yang seolah-olah mencarik adat seperti:

1. Tabaruk dengan capal
2. Baca bismillah 21 kali sebelum tidur
3. Capal Nabi lebih mulia dari ibu bapa
4. Selawat syifa, tafrijiyah dan seumpamanya
5. Menulis 2,4,6,8 di motor akan selamat
6. Baca surah al-Naas sebelum solat
7. Nabi sedih bila orang baca surah al-Masad
8. Amal surah sekian-sekian dapat fadhilat tertentu
9. Amalan untuk kaya
10. Air mandian Nabi menitis jadi tapak masjid

Dan seumpa amalan-amalan yang disebutkan itu. Apakah menjadi salah bertanya dalil?

Sedangkan menjadi tradisi ulama bertanya dalil, sanad, nama perawi semasa menerima hadis. Ibn al-Sirin berkata:

سموا لنا رجالكم ، فينظر إلى أهل السنة فيؤخذ حديثهم ، وينظر إلى أهل البدعة فلا يؤخذ حديثهم

Maksudnya: “Sebutkan kepada kami dari siapa kamu ambil riwayat ini, sekiranya dari ahli sunah maka kami menerimanya, namun sekiranya dari kalangan ahli bidaah maka kami tidak ambil darinya.” -1-

Imam Malik pernah ditanya mengenai mencuci celah jari kaki semasa wuduk. Beliau (imam Malik) menyuruh meninggalkan perbuatan tersebut.

Mendengar hal itu, anak muridnya iaitu Abu Muhammad Abdullah bin Wahab bin Muslim membantah (imam Malik) dengan katanya:

يَا أَبَا عَبْدِ اللَّهِ! سَمِعْتُكَ تُفْتِي فِي مَسْأَلَةٍ فِي تَخْلِيلِ أَصَابِعِ الرِّجْلَيْنِ؛ زَعَمْتَ أَنَّ لَيْسَ ذَلِكَ عَلَى النَّاسِ، وَعِنْدَنَا فِي ذَلِكَ سُنَّةٌ.
Maksudnya: “Wahai Abu Abdullah, aku dengar kamu (Imam Malik) berfatwa mengenai mencuci celah jari jemari yang engkau tidak setuju, sedangkan di sisiku ada hal tersebut dalam sunnah (yakni Nabi SAW ada melakukannya).

Lantas imam Malik bin Anas minta dibacakan hadis mengenainya daripada Abdullah Ibn al-Wahhab. Beliau (Abdullah ibn al-Wahhab) membacakan hadis berkenaan beserta sanadnya.

Kemudian imam Malik menerima hadis berkenaan, dan menarik semua pendapatnya yang awal dan mengubah pendapatnya dengan menganjurkan perbuatan tersebut.” -2-

Ada banyak lagi kisah sebegini, ada kisah “Abu Yusuf yang berfatwa berbeza dengan gurunya (Imam Abu Hanifah), bila ditanya kenapa berbeza, jawabnya bahawa “aku (Abu Yusuf) berfatwa dengan dalil yang aku jumpa.” -3-

Ramai tokoh berbeza dengan guru mereka, kerana mereka mengikuti dalil bukan tubuh guru. Kerana itu walaupun imam al-Syafie belajar dengan imam Malik, namun al-Syafie bukanlah mazhab Maliki.

Murid kepada imam al-Syafie ialah imam Ahmad bin Hanbal, namun Ahmad bin Hanbal bukanlah bermazhab al-Syafie bahkan punyai mazhab sendiri.

Itulah contoh manusia yang terbaik, tidak menjadi lembu dicucuk hidung pada guru dan tidak pula memaksa murid membabi buta padanya.

Jika tidak tahu dalil atau rujukan, maka nyatakan sahaja “saya tidak tahu”, bukankah Ibn al-Masud telah ajarkan bahawa:

يا أيها الناس من سئل منكم عن علم هو عنده فليقل به فإن لم يكن عنده فليقل الله أعلم فإن من العلم أن تقول لما لا تعلم الله أعلم

Maksudnya: “Wahai manusia, barang siapa yang ditanya tentang suatu permasalahan ilmu kepadanya dan ia mengetahuinya maka hendaknya ia menjawabnya. Dan barang siapa yang tidak mengetahui jawabannya, hendaknya ia mengatakan wallahualam kerana sesungguhnya sebahagian dari ilmu adalah engkau mengatakan wallahualam terhadap sesuatu yang tidak engkau ketahui.” -4-

Andai perlu dicari, maka minta tangguh dan cari serta berikan bila telah dapat jawapan. Zaman sekarang makin mudah mencari rujukan, buku telah dicetak, cuma wang bercetak hendak diguna kemana?

Sekiranya tidak tahu, janganlah sesekali malukan orang yang bertanya, usah juga tanya pelbagi benda pelik yang orang tidak tahu untuk menutup yang kita tidak tahu. Bak kata Harry S. Truman: “If you can’t convince them, confuse them.”

Pertuduhan jenayah juga perlukan bukti dan saksi. Bahkan jika ada sangsi, kes tidak boleh disabitkan. Tapi ibadah dan agama, kenapa tidak boleh diberi bukti?

Ibn al-Taimiyah berkata:

أَمَّا وُجُوبُ اتِّبَاعِ الْقَائِلِ فِي كُلِّ مَا يَقُولُهُ مِنْ غَيْرِ ذِكْرِ دَلِيلٍ يَدُلُّ عَلَى صِحَّةِ مَا يَقُولُ فَلَيْسَ بِصَحِيحِ ؛ بَلْ هَذِهِ الْمَرْتَبَةُ هِيَ ” مَرْتَبَةُ الرَّسُولِ ” الَّتِي لَا تَصْلُحُ إلَّا لَهُ

Maksudnya: “Adapun menyatakan bahwa wajib mengikuti seseorang dalam setiap perkataannya tanpa menyebutkan dalil mengenai benarnya apa yang ia ucapkan, maka ini adalah sesuatu yang tidak tepat. Menyikapi seseorang seperti ini sama halnya dengan menyikapi rasul semata, yang selainnya tidak boleh diperlakukan seperti itu.” -5-

Jika tiada dalil atau tak tahu dalil, janganlah berdalih, sebaliknya beralihlah menjadi pelajar sepanjang hayat, belajar apa tidak tahu bukan beramal tanpa tahu.

Wallahualam.

______________________
1. HR Muslim
2. Imam al-Baihaqi. Sunan al-Kubra
3. Ibn al-Taimiyyah. Majmu al-Fatawa
4. HR Ahmad
5. Majmu al-Fatawa

Editor: Loha
18 Zulhijjah 1445H

Pelawat: 78
Hari ini: 44
Jumlah: 222330

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X